Monday, February 21, 2011

Lessons Learned - Ujian Sabar dan Syukur dari Umrah & Ziarah

Hari ini ulang dengar after action review kerja umrah tahun lepas. Mudah-mudahan mendapat iktibar dari pengalaman yang lepas.
  1. Talbiah: Kad Jemputan dari Allah. Ikrar kita kepada Tuhan. Mesti buat sungguh-sungguh. Menginsafi diri. Sedar nak ke mana, nak buat apa.  Minta Allah terima sebagai tetamu. Jangan cakap tak serupa bikin.  Tundukkan nafsu dan kemewahan termasuk nama dan pangkat. Surah Al Haj : Seruan Nabi Ibrahim, Allah yang sampaikan. Datanglah ke Tanah Suci ini. Bukan dengan kemewahan dan duniawi. Hanya hati yang bersih dari sifat mazmumah dapat mendengar panggilan Allah ini. Serahkan diri 100% di tangan Allah.Biarlah Allah melayani kita mengikut kehendakNya. Walau dah banyak kali pergi, layanan Allah tidak sama. Jangan over confident.
  2. Perpisahan dengan keluarga: Jangan sedih. Tinggalkan mereka di tangan Allah. Perjalanan ini perkara yang baik. Jemaah yang bersama itulah keluarga kita sekarang. Take care of each other.
  3. Visa: Hampir tidak lepas kerana masalah kuota. Berkat doa dan munajat, lepas juga.
  4. Imigresen di Jeddah: Ujian sabar - Menunggu lama & 3 passport hilang. Semua masih boleh senyum. Selesai dengan bertaubat.
  5. Hotel: Bilik kecil tiada almari, duduk bertiga. Masih dapat bersyukur mendudukan sabar.
  6. Berjalan ke Masjidil Haram: Talbiah, Tasbih dan istigfar tidak putus. Tubuh dan hati bergetar dan terharu. Air mata kesyukuran yang sangat tulus.
  7. Tiba di Pintu 56: Laksanakan istigfar, doa dan langkah kaki kanan. Istigfar yang sangat hebat terutama dari jemaah first timer. Bersedia terima apa saja layanan Allah.
  8. Wakafkan selipar: Mula2 ikhlas, bila banyak kali, ada yang mula merungut. Ramai yang masih senyum juga dengan gurau senda dari Allah ini.
  9. Melihat Kaabah: Semua terpegun dan gementar. Benar-benar bertauhid dan bertakbir serta memuji kebesaranNya.
  10. Tawaf: Dilaksana dengan tawaduk, nafsu yang tunduk. Tidak rakus atau bertolak-tolak. Tidak tamak, bertimbangrasa dengan jemaah lain yang juga mahu menyentuh Kaabah.
  11. Tahajud 1: Melihat tingkap dan pintu. Sujud dan solat yang diberi Allah dihadapan Kaabah.
  12. Tahajud 2: Mengenal hati. Bacaan biasa sehingga Penjuru Syams, diikut apa-apa bacaan yang tergerak di hati hingga Hajar Aswad. Kenali hati dan diri dari ayat yang disampaikan ke hati.
  13. Tahajud 3: Tawaf Rohani. Tawaf pusingan ke 7, hanya Lailahaillallah - Kalimah tauhid dan pengesaan sehingga Rukun Yamani kemudian sambung dengan "Ilahi, anta maksudi, waridha kamatluubi." Hanya Allah arah tuju kita bukan Kaabah lagi. (Itulah kali akhir tawaf untukku kerana esoknya sudah uzur). Kesan yang sangat-sangat dalam!
  14. Kaabah: Tidak menghijab Allah. Dapat menundukkan hati. Berkasih sayang dengannya. Sekali sekala hati bertanya, kenapa aku tidak rasa kagum pada mu seperti sahabat2 yang lain? Mengapa aku hanya kagum dan sayang kamu bila berjauhan? Adakah hatiku sekeras batu? Bagaimana harus kuletakkan kamu di hati?  Peluang untukku terbuka dengan izinNya untuk menyentuh Kaabah banyak dan sedikit mengikut masa dan sisi. Hijr Ismail sentiasa penuh, tapi berjaya juga berbisik dengannya di bawah pancur mas. Diizin berdoa dan sujud di Multazam. Dapat masuk kelambu di Multazam. Akhirnya, rasa paling syahdu semasa tawaf terakhir. Sujud dan menangis seperti anak kecil dalam pelukan ibu di kaki Multazam. Marsyal yang berkawal pun tidak berkutik. Tiada ganguan dari sesiapa, bagai hanya aku dan dia saja di sana. Rasa diri terlalu kerdil, hampir tiada. Terasa lemah segala sendi dengan kebesaran kasih sayangNya. Ketika kembali ke ruang solat dalam masjid, terasa Kaabah menjawap persoalanku. Katanya "kau boleh sayang dan kasihkan aku sebagaimana kau kasih dan sayangkan AlQuran, senang kan?" Aku hanya mampu sujud syukur dengan airmata yang melimpah ruah. Ya Baitullah dan Alquran sentiasa dihati. Selepas Allah dan Rasulullah s.a.w.  Semoga dapat kekal begitu. Subahanallah!
  15. AlQuran: Sangat indah diizin membaca dan mendengar bacaan Al Quran berulang-ulang. Muhasabah diri dengan surah dan ayat yang mendatang. Pada tawaf terakhir Allah mengurniakan "Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun". Semua ayat yang diterima bagaikan jatuh diubun-ubun sendiri. Diri jadi lemah dan tidak bermaya dengan kehebatan kebesaran, kuasa dan kasih sayangnya.
  16. Ruang makan: Ujian Habluminannas. Kecil dan sempit jika dibanding kami yang 76 orang, dan penghuni hotel yang lain. Tapi kebahagiaan tetap ada bersama kami. Peluang amal timbangrasa dan sabar. Melahirkan akhlak yang baik dan mengerat kasih sayang sesama jemaah. kata Ustaz, kantin itu biasan Hijr Ismail - ruangnya sempit tapi cukup untuk tempat berkasih sayang.
  17. Akhlak: Menggambarkan amalan hidup selama ini, keputusannya disana. Akhlak yang bagaimanakah sebenarnya diri ini. Rakus? Sabar? Tamak? Pemurah? Pengasih? Penyayang?  Pemaaf? Sombong? Takkabur? Harapan- jadi hamba yang diredhai dan diampuni Allah.
  18. Tidak rakus dalam beribadah: Jaga hubungan dengan jemaah lain. Seimbangkan habluminannas dengan habluminAllah.  Jika dapat ruang strategik, mestilah berpada, ingat, ramai lagi umat Islam yang menanti peluang untuk tempat yang sama.
Pengalaman pertama itu sangat berkesan dihati. Membuka keupayaan RASA yang tidak dapat dihuraikan. Melihat DIA dalam segala tempat dan keadaan. Serasa tidak mahu pulang. Tapi tempoh jemputan sudah tamat. Alhamdulillah, tiada pengalaman getir. Allah melayani bagi sang puteri. Pesan Ustaz bagi yang mengalami kesukaran, walau apapun yang terjadi, pahit getir yang dilalui, jangan serik kembali lagi. Belajar dan bangunlah  dari kelemahan dan kesilapan-kesilapan lalu.
Semoga Allah mengizinkan datang lagi untuk Umrah dan Haji. Aku berdoa moga Umrah kali ini lebih bermakna untuk membaiki diri zahir dan batin demi mencari jalan lurus untuk kembali kepada Nya.

No comments:

Post a Comment

Respon di sini